Tun Hanif Omar berkenaan dengan Dato’ Harun Idris & May 13th.
top of page

Tun Hanif Omar berkenaan dengan Dato’ Harun Idris & May 13th.




Kepada Tun Hanif Omar,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakkatuh.

Terima kasih saya ucapkan kerana sudi ditemu ramah melalui e-mel. Saya salah seorang cucu kepada Allahyarham Dato’ Harun dan saya sedang menyelidik kisah arwah, terutamanya setelah muncul diari-diari arwah yang ditulis antara tahun 1977 hingga 1981. Selepas membaca kandungan diari-diarinya dan bertemu dengan beberapa orang, saya agak yakin bahawa kisah arwah yang dipenuhi suka duka ini layak diceritakan. Setakat ini saya mendapati bahawa orang sentiasa menyebut betapa ikhlasnya arwah semasa bekerja, bukan hanya sebagai Menteri Besar Selangor tetapi juga ketika melakukan aktiviti lain, misalnya tugas-tugas yang melibatkan pasukan bola sepak negara dan Selangor.

Sewaktu saya berbual dengan Tan Sri Azman Hashim, beliau menyebut bahawa Tun sedang menulis buku (saya tidak sabar hendak membacanya!) mengenai peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang tempoh perkhidmatan Tun sebagai Ketua Polis Negara. Saya khususnya berminat mengetahui, sebagaimana tentu Tun ingat, mengenai penglibatan datuk saya dalam beberapa kejadian buruk yang membabitkan polis, iaitu 1) Rusuhan 13 Mei; 2) Tuduhan rasuah berhubung dengan perlawanan antara Muhammad Ali dengan Joe Bugner; dan 3) Arwah ditahan di rumahnya di No. 10 Jalan Langgak Duta oleh Pemuda UMNO.

Saya faham bahawa tajuk-tajuk ini mungkin sensitif. Oleh itu, saya amat menghargai apa sahaja maklumat yang sudi Tun berikan supaya dapat saya cantumkan adegan-adegannya untuk melengkapkan kisah hidup datuk saya.

Saya senaraikan soalan-soalannya di bawah ini dan saya harap Tun dapat menjawabnya apabila ada kelapangan masa.

1) Apakah ingatan Tun yang paling awal mengenai Dato’ Harun Idris?

2) Bagaimanakah tanggapan Tun terhadap arwah sebagai seorang insan? Apakah pendapat Tun mengenai arwah semasa arwah berkhidmat sebagai Menteri Besar Selangor?

3) Saya sekadar ingin tahu sahaja, semasa perlawanan antara Muhammad Ali dengan Joe Bugner berlangsung di Kuala Lumpur, adakah Tun terlibat secara langsungnya dengan urusan mengawasi perlawanan tersebut?

4) Sudah tentu, perlawanan itu banyak mengakibatkan kekacauan politik bagi Dato’ Harun yang menyebabkan arwah dituduh dan dihukum atas dakwaan rasuah, pemalsuan dan sebagainya sehubungan dengan kes Hongkong and Shanghai bank dan Bank Rakyat. Ingatan yang saya harap dapat Tun ceritakan ialah peristiwa-peristiwa yang berlaku sebelum arwah dihantar ke Penjara Pudu.

Selepas berbilang kali rayuan dikemukakan, sehinggalah kepada Majlis Privi United Kingdom, arwah pulang ke Lapangan Terbang Subang dikelilingi (mengikut anggaran) kira-kira 2000 orang. Adakah Tun yang mengatur dan mengawasi perhimpunan spontan pada 20 Februari itu?

5) Tidak lama selepas kepulangannya dari London, perintah kepada Dato’ Harun untuk melaporkan diri di Penjara Pudu dikeluarkan dan pada 23 Februari 1978, Pemuda UMNO Selangor mengambil keputusan menghalang arwah melaporkan diri di penjara, seterusnya menyebabkan rumahnya di No. 10 Jalan Langgak Duta dikepung. Dalam perbualan saya dengan Dato’ Fahmi (setiausaha politiknya pada ketika itu), beliau menyebut bahawa Tun terlibat dengan rundingan yang hendak cuba menyelesaikan hal tersebut secara damai. Saya juga ada membaca bahawa beberapa pemimpin UMNO datang kerana hendak cuba menenangkan situasi, antara lainnya Tunku Abdul Rahman dan Dato’ Senu Ingatkah Tun bagaimana mesyuarat yang hendak cuba menenangkan situasi itu diadakan? Benarkah terdapat ancaman keganasan? Bagaimanakah suasana di Kuala Lumpur pada waktu itu?

6) Sehubungan dengan peristiwa rumah arwah dikepung itu, saya juga ada mendengar khabar angin bahawa beberapa anggota Sarawak Rangers dibawa ke situ untuk mengepung rumah arwah, berserta rancangan yang mungkin telah diatur untuk menggempurnya jika Dato’ Harun tidak keluar. Adakah semua ini benar?

7) Akhir sekali, saya terpanggil untuk bertanya mengenai peristiwa 13 Mei kerana terdapat cerita yang disebarkan dengan agak meluas bahawa Dato’ Harun secara langsungnya bertanggungjawab mencetuskannya. Bolehkah Tun berikan pandangan Tun mengenai hal ini?

Saya amat menantikan jawapan Tun bagi soalan-soalan ini. Semoga Tun sekeluarga sihat walafiat semuanya.

Yang benar,

Dr Ashaari Imran bin Azman Shah



Jawapan Tun Hanif

DATO’ HARUN IDRIS

Pertama kali saya mendengar nama Dato’ Seri Harun Idris ialah selepas saya menyertai Cawangan Khas di ibu pejabat persekutuan polis di Bluff Road (sekarang ini Bukit Aman) pada tahun 1962. Arwah menyandang jawatan Menteri Besar Selangor dan beberapa pegawai polis bercakap mengenainya dengan penuh kasih sayang, sebagai “mantan Timbalan Pendakwa Raya kami yang sudi meluangkan masa bersama kami di dewan makan (dewan makan inspektor yang berhadapan dengan tasik, di tempat yang sekarang ini menjadi tapak Planetarium).”

Golongan Melayu yang menyokong kerajaan bercakap dengan megahnya tentang Dato’ Seri Harun sebagai satu-satunya ADUN Melayu di Selangor yang mampu menyaingi ketua pembangkang, Tan Chee Koon, Presiden Parti Buruh Malaya yang mempunyai reputasi menyampaikan ucapan yang dikarang dengan cukup baik di Parlimen dan di DUN Selangor.

Saya bangga mendengar semua ini kerana saya merasakan sesuatu pertalian dengan Dato’ Seri Harun yang bermarga Harahap daripada suku Mandailing. Saya pula mempunyai darah kacukan Nasution daripada suku Mandailing ini.

Saya kenal abang Dato’ Seri Harun, iaitu Dato’ Kamaruddin Idris, Menteri Besar Terengganu yang pada ketika itu selalu menghadiri mesyuarat Lembaga Pengelola Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) di Kuala Kangsar dan juga melawat anaknya, Suhaimi. Saya Ketua Pengawas MCKK pada masa itu, iaitu tahun 1954-1956. Semasa salah satu lawatan itu pada tahun 1956, sepupu saya yang baru sahaja memasuki MCKK dalam tingkatan 6 rendah memberitahu saya bahawa mereka bersaudara. Sehingga hari ini, saya masih tidak tahu pertaliannya!

Saya tidak mengenali Dato’ Seri Harun secara peribadi sehinggalah pertengahan tahun 1969, iaitu peringkat awal Mageran, apabila saya dipanggil ke rumah Raja Nur Jasmin, iaitu Puan Robert Middleton. Dato’ Harun yang tidak keruan berada di situ dan sedang cuba memujuk isterinya yang kedua, Datin Seri Shariffah Salmah, agar pulang ke rumah bersamanya. Mereka berselisih faham antara ahli keluarga dan Datin Seri mahu bermalam dengan kawannya, Raja Nur Jasmin, yang pernah menjadi Pegawai Bertugas Polis Wanita yang kedua dan isteri kepada Encik Robert Middleton, mantan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah.

Apabila saya tiba di rumah Raja Nur dan bercakap dengan Dato’ Seri Harun, saya mendapati dia lemah lembut orangnya dan seiras dengan bapa kepada sepupu saya tadi, yang juga lemah lembut orangnya. Tidak sukar bagi saya memujuk beliau agar membenarkan Datin Seri Shariffah bermalam dengan Raja Nur.

Dato’ Seri Harun mempunyai reputasi yang sangat baik sebagai Menteri Besar Selangor. Beliau berjiwa rakyat dan selesa didampingi. Dia bukan orang yang suka berlagak. Beliau bergaul mesra dengan semua komuniti serta suka membantu dan tekun melayan masalah mereka. Beliau memperkasa pasukan bola sepak negara dan Selangor sehingga menjadi pasukan berbilang bangsa yang gagah. Itulah zaman rakyat Malaysia sedang mabuk bola! Dan beliaulah antara pengurus yang disayangi oleh para pemain tersebut. Ramai antara mereka diberinya gelaran istimewa yang comel-comel seperti “Tauke” untuk Datuk Wira Soh Chin Ann, kapten yang sungguh berkebolehan, dan “Spiderman” untuk Datuk Arumugam, penjaga gol yang hampir tidak boleh ditewaskan.

Tidak, saya tidak terlibat mengawasi perlawanan antara Muhammad Ali dengan Joe Bugner pada tahun 1975. Saya mendapat jemputan ke perlawanan itu tetapi terlalu sibuk bekerja. Pengawasan dilakukan pada peringkat Ketua Polis Selangor.

Benar, keadaan selepas perlawanan itu amat buruk bagi Dato’ Seri Harun. Seluruh dunia seolah-olah menenggelamkan beliau selepas perlawanan itu. Saya langsung tidak terlibat dengan penyiasatan kesnya. Kebanyakan kerja tersebut dilakukan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR), iaitu pendahulu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Tetapi bagi saya, ini sudah tentunya bermula sejak tahun 1972 lagi, iaitu semasa saya baru sahaja mengambil alih jawatan Ketua Polis Selangor dan UMNO sedang mengadakan Mesyuarat Agung Tahunannya di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Semasa mesyuarat tersebut, nyatalah bahawa terdapat beberapa pihak yang sedang cuba merebut jawatan pelapis yang utama dalam barisan kepimpinan. Perdana Menteri baharu, Tun Abdul Razak, telah memuji kawan lamanya, Tun Ghazalie Shafie, atas sesuatu perkara dan pujian itu tidak dipandang baik sama ada oleh puak yang menyokong Dato’ Seri Harun Idris mahupun oleh kumpulan Tengku Razaleigh Hamzah dan Tan Sri Abdullah Ahmad daripada Kumpulan Kok Lanas, meskipun isteri Tun Ghazalie, Khatijah, ialah anak saudara Dato’ Seri Harun. Pujian itu barangkali mendorong Dato’ Seri Harun agar cuba mengumpulkan wang atau mengadakan dana perjuangan untuk membiayai masa depannya dalam bidang politik.

Sehingga waktu itu, ahli politik UMNO tidak dibenarkan mengumpul dana sendiri. Peraturan ini bertujuan menghalang pembentukan kedudukan yang terlalu berkuasa ataupun rasuah dalam UMNO. Hanya 4 pegawai teratas UMNO dibenarkan memohon dan mengambil sumbangan derma untuk mengisi dana politik UMNO. Mereka ialah Tunku Abdul Rahman sendiri, Tun Abdul Razak, Tun Dr Ismail Abdul Rahman dan Tun Ismail Ali.

Tidak lama selepas itu, tersebar pula khabar angin bahawa apabila Hongkong and Shanghai Bank memohon agar ibu pejabatnya di Kuala Lumpur dipindahkan atau dibina semula, wang telah diminta dan dibayar. Kemudian, perlawanan antara Muhammad Ali dengan Joe Bugner pada tahun 1975 di Kuala Lumpur juga dikhabarkan membantu Dato’ Seri Harun mengisi dana perjuangannya. Malangnya, penajaan perlawanan tersebut melibatkan Bank Rakyat yang telah kerugian beberapa juta ringgit dalam usaha niaga tersebut. Sudah tentulah ada khabar angin mengenai rasuah dan tuntutan agar penyiasatan dijalankan. Tuntutan ini juga dibuat berulang kali oleh pihak pembangkang di Parlimen. Mereka menggerakkan Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Tun Razak cuba menyelamatkan Dato’ Seri Harun dengan syor bahawa beliau menerima jawatan di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Pada mulanya, beliau bersetuju kemudian meminta masa untuk mengerjakan umrah. Apabila beliau pulang, saya diberitahu oleh Tun Mustapha bahawa beliau makan malam bersama Tun di rumah Tun Mustapha di Seksyen 5 Petaling Jaya. Di situ, saudara-mara Dato’ Harun dan para pembantu politik beliau bertegas menasihati beliau supaya tidak menerima jawatan PBB itu, yang dirasakan pasti akan menamatkan kerjaya politiknya.

Oleh itu, Harun pergi berjumpa dengan Razak sekali lagi untuk memberitahu bahawa beliau tidak akan meninggalkan tanah air. Dengan itu, Razak dengan dukacitanya memaklumkan bahawa beliau tiada pilihan selain membiarkan BPR bertindak.

Apabila tiba masa peristiwa tersebut, Razak telah meninggal dunia di England dan Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri. Menurut kata Razak kepada saya, Hussein ialah saksinya semasa mesyuarat dengan Harun. Oleh itu, beliau maklum akan perkara tersebut dan membiarkan tindakan undang-undang dilaksanakan.

Selepas disabit kesalahan dan dijatuhkan hukuman penjara, Harun berjaya menangguhkan hukumannya atas sebab rayuan yang belum selesai. Beliau mengemukakan rayuan sehingga ke Majlis Privi tetapi gagal. Apabila beliau pulang ke Selangor pada 20 Februari 1978, kira-kira 2000 penyokong menyambut ketibaannya. Suasananya penuh emosi tetapi tiada kejadian buruk yang berlaku. Orang ramai dikawal dengan cukup baik oleh Polis Selangor.

Oleh sebab beliau tiada lagi saluran untuk mengemukakan rayuan, mahkamah pun memerintahkan Ketua Polis Negara supaya menangkap beliau dan menghantar beliau ke penjara untuk menjalani hukuman. Saya tidak bergerak balas selama beberapa hari. Apabila saya pergi berjumpa dengan Perdana Menteri, yang sedang menghadapi tekanan oleh kumpulan-kumpulan UMNO untuk melakukan sesuatu agar Harun tidak dipenjarakan, seorang Ketua Pemuda UMNO kanan datang menegur saya di luar pejabat Perdana Menteri dan menanya saya sebabnya saya belum lagi mematuhi perintah mahkamah. Dengan tajamnya saya menyuruh dia usah merisaukan hal saya. Saya memang akan mematuhi perintah mahkamah tetapi caranya dan masanya terpulang kepada saya. Dan saya lemparkan soalan ini kepadanya: Mengapakah dia dan ketua-ketua UMNO yang lain tidak menyokong Perdana Menteri yang sedang bersendirian dihentam oleh anggota-anggota UMNO Selangor? Dia diam.

Pada malam itu, saya menerima panggilan daripada Perdana Menteri yang meminta saya berjumpa dengan beliau di kediamannya. Di situ, beliau memberitahu saya bahawa beberapa orang anggota UMNO yang bersikap gopoh akan datang berucap dengan hangatnya di rumahnya, kemudian menambah dengan nada yang mengancam bahawa beliau anak Melayu dan tiada sesiapapun yang akan menyerang rumahnya. Beliau kemudian meminta pistol revolver saya dan saya menghulurkannya kepada beliau.

Ingat, beliau dahulunya berpangkat kapten dalam tentera India British semasa Perang Dunia Kedua dan agak handal menggunakan pelbagai jenis senjata. Saya kemudiannya pergi menyertai para pengawalnya di pintu pagar untuk memastikan orang yang datang melulu itu nanti tidak dapat menghampiri Perdana Menteri. Saya benarkan masuk hanya sebilangan kecil anggota UMNO yang baik-baik. Semuanya berjalan dengan baik dari segi pengawalan keselamatan.

Kemudian saya menerima taklimat di Pusat Kawalan Kontinjen Selangor. Anggota UMNO, pahlawan Melayu dan “ahli sihir” membentuk tiga bulatan sepusat di sekeliling rumah Dato’ Seri Harun, sedia bertarung untuk menghalang polis supaya Harun tidak ditangkap. Di luar, agak jauh dari situ, Polis Kuala Lumpur telah mendirikan beberapa sekatan jalan untuk memantau pelawat dan menghalang terlalu ramai orang memasuki rumah itu. Saya mengarahkan polis agar tidak menugaskan operasi ini kepada pegawai yang bukan Melayu, kemudian memanggil Penolong Kanan Pesuruhjaya, Yahaya Yeop Ishak. Kami berdua telah mempelajari kaedah pengawalan orang ramai Echelon oleh Polis Amerika. Saya meminta beliau lekas melatih sekompeni anggota Pasukan Polis Hutan menggunakan kaedah ini dan pada keesokan harinya, mengatur kedudukan mereka mengikut formasi di seberang jalan dari rumah Harun. Mereka hendaklah memakai kelengkapan peperangan yang sempurna, berserta jambul pada beret. Mereka hendaklah berdiri dalam keadaan senang diri sambil menetapkan senapang dan bayonet. Bayonet mereka semuanya kusam. Saya mengarahkan supaya bayonet itu disalut dengan krom supaya kelihatan berkilau-kilau di bawah sinaran matahari. Saya ingin bermain permainan psikologi.

Pada keesokan hari, saya pergi ke Pusat Kawalan Kontinjen Selangor lagi untuk mendengar suatu lagi taklimat. Saya diberitahu bahawa semuanya sudah siap sedia. Saya membawa Ketua Polis Selangor, Penolong Kanan Pesuruhjaya Mansor Mohd Noor, kawan rapat Dato’ Harun, ke tempat itu. Di situ, Penolong Penguasa Polis Kenny Woodworth yang mengawal sekatan jalan itu, sedang bertengkar dengan seorang anggota Pemuda UMNO yang mahu ke rumah Dato’ Harun. Mansor sangat marah dan malu kerana saya sudah meminta beliau tidak menugaskan pegawai yang bukan Melayu dalam operasi tersebut. Kami menghantar Kenny balik. Anggota Pasukan Polis Hutan saya sudah mengambil tempat dan sudah pun ada kesan terhadap orang ramai yang “melindungi” Harun. Ada yang membawa parang untuk mencabar senapang dan bayonet kami. Bomoh dan ahli sihir sudah pun hilang.

Saya pulang sekejap untuk menyalin pakaian dan mendapat panggilan daripada anak Harun, iaitu Mazlan agaknya, yang minta berjumpa dengan saya. Kami berjumpa di ibu pejabat Polis Selangor. Beliau datang bersama kawannya yang juga pembantu Harun, Fahmi. Harun mahukan cara yang mulia untuk menyerah diri kepada polis. Dengan itu, beliau keluar memakai rambut palsu dan menyerah diri kepada sahabat karibnya, Penolong Kanan Pesuruhjaya Mansor.

Saya berasa lega sepenuhnya, gembira dan juga sedih.

Saya sendiri tidak bertemu dengan Tunku atau Dato’ Senu Abdul Rahman tetapi mereka telah ke tempat kejadian dan bercakap dengan Mansor, yang dikenali mereka dengan baik, dan yang juga berasal dari negeri mereka, Kedah. Mereka meminta agar pelaksanaan usaha itu berakhir dengan aman dan agar Harun diberi penghormatan yang sepatutnya.

Semua ini berlaku tidak sampai 10 tahun selepas kejadian buruk pada 13 Mei 1969. Pada waktu itu, sangat ramai rakyat bukan Melayu yang percaya bahawa Harun orangnya yang telah menyebabkan kejadian yang menyebabkan lebih daripada 200 kematian dan perintah berkurung yang berminggu-minggu lamanya. Oleh itu, penduduk Kuala Lumpur bertindak menyimpan stok makanan yang banyak dan pengguna jalan raya meninggalkan Jalan Duta dalam keadaan lengang. Orang bukan Melayu yang tinggal di kawasan itu memindahkan keluarga mereka dari situ. Bertentangan dengannya ialah rumah Tuan Hakim T.H. Ong. Beliau duduk di dalam rumah dan mungkin telah kehabisan wain simpanan kerana menjelang malam terakhir itu, polis dipanggil oleh pembantu rumahnya untuk memindahkan beliau.

Anggota Pasukan Polis Hutan (PPH) saya diambil daripada Briged Pusat (Kuala Lumpur). Saya rasa mereka bukan anggota Pasukan Polis Hutan Sarawak, apatah lagi Sarawak Rangers (tentera).

Sewaktu berlakunya peristiwa 13 Mei 1969, saya menyandang jawatan Ketua Polis Daerah Ipoh. Pada pagi 14 Mei, saya diarahkan melaporkan diri di Kuala Lumpur untuk menyertai kakitangan Mageran sebagai Ketua Turus (Polis). Saya mendapat panggilan daripada Penolong Kanan Pesuruhjaya Zamani Abu Samah, Komander Briged PPH Ulu Kinta. Beliau hendak menceritakan kepada saya bagaimana peristiwa itu berlaku kerana beliau berada betul-betul di seberang jalan dari kediaman rasmi Menteri Besar Selangor yang diduduki Harun. Beliau sedang menziarahi ibunya.

Beliau nampak beratus-ratus orang Melayu di tepi jalan di luar rumah Harun. Ramai yang bersenjatakan parang. Ramai lagi berada di dalam perkarangan rumah Harun sambil mendengar ucapan Harun yang disampaikan oleh Harun yang berdiri di atas bumbung bas. Kemudian, seorang penunggang motosikal berbangsa Melayu meluru masuk sambil menjerit-jerit bahawa suatu perarakan Melayu dari Gombak telah diserang oleh orang Cina di Setapak. Orang Melayu di tepi jalan itu bangkit. Dua orang Cina yang lalu di situ dengan menaiki basikal ditetak sehingga mati. Sebuah kereta Mercedes Benz yang dipandu oleh seorang Cina ditahan dan pemandunya dibunuh. Setelah menyaksikan semua ini, Zamani mengambil keputusan pulang terus ke Ulu Kinta untuk mengarahkan para anggotanya agar bersiap sedia menghadapi apa sahaja kemungkinan atau perintah.

Pada 16 Mei, Mageran mengadakan mesyuaratnya yang pertama. Pada penghujung mesyuarat, seorang menteri mencadangkan supaya Ketua Polis Negara mengkaji kes penangkapan Dato’ Harun kerana mengatur rusuhan yang berlaku itu. Saya mengangkat tangan dan menyebut tentang apa yang telah diceritakan kepada saya oleh SACP Zamani. Oleh itu, jika perselisihan kaum itu bermula di Setapak ketika Dato’ Harun sedang berucap kepada orang ramai di perkarangan rumahnya, maka beliau mungkin tidak bertanggungjawab mencetuskan rusuhan yang dahsyat itu. Mageran kemudiannya memberi saya tugas menubuhkan sebuah pasukan petugas polis untuk menentukan perkara sebenar. Sebuah kumpulan Cawangan Khas berbilang kaum dibentuk untuk merakamkan pernyataan saksi. Salah seorang anggotanya yang masih hidup ialah Dato’ Noordin Omar, mantan Ketua Polis Pahang dan Perak. Berdasarkan pernyataan ini, laporan Majlis Gerakan Negara (Mageran) disediakan oleh saya dan Leftenan Kolonel (yang kemudiannya menjadi Jeneral) Ghazali bin Che Mat dan Encik Hamzah Majid (sekarang ini bergelar Dato’) daripada Wisma Putra.

Dua menteri, yang tidak dapat menerima bahawa Dato’ Harun langsung tidak boleh dipersalahkan, dicalonkan oleh Mageran sebagai Pengerusi Bersama untuk mengkaji bukti yang ada dan menentukan perkara yang sebenar. Selepas beberapa hari meneliti buktinya, mereka mengaku kalah. Kemudian, sebuah firma perunding, Eric White, diminta mengkajinya dan selepas itu barulah Mageran menerima laporan tersebut dan menyiarkannya.

Siapakah yang merancang perarakan UMNO itu? Orangnya ialah calon UMNO yang menang di Kampung Baru, Ahmad Razali. Parti pembangkang mengadakan perarakan keraian pada 11 Mei oleh Gerakan dan 12 Mei oleh DAP, sambil menghamburkan pelbagai hinaan yang serius terhadap UMNO dan orang Melayu secara amnya. Selepas 2 hari itu, Ahmad Razali melaporkan kepada Dato’ Harun bahawa pengikutnya menuntut bahawa beliau juga patut mengadakan perarakan sebagai gerak balas, kerana beliau sendiri telah memenangi kerusi. Pada petang 12 hari bulan itu, beliau berjaya mendapat permit daripada polis untuk mengadakan perarakannya yang dijadualkan bermula selepas waktu Maghrib, 13 Mei. Pengikutnya kemudian bertindak menggalakkan orang Melayu di Kuala Lumpur dan di bahagian-bahagian lain Selangor agar turut serta. Beberapa orang pengikutnya menggalakkan orang Melayu itu datang bersenjata kerana mereka mungkin diserang oleh samseng Cina.

Pada pagi 13 Mei itu, Dato’ Harun mengadakan mesyuarat antara ketua-ketua Perikatan Selangor dan calon-calon pilihan raya untuk membincangkan situasi berhubung dengan pembentukan kerajaan Selangor. Semasa pilihan raya di Selangor, kerajaan yang sedang memerintah telah memenangi 14 daripada 28 kerusi yang ditandingi. DAP mengambil 8 kerusi, Gerakan 4 kerusi dan calon bebas 1 kerusi. Sebelum pilihan raya, Gerakan mengumumkan bahawa seandainya mereka dan DAP berjaya memenangi cukup banyak kerusi jika digabungkan, maka Gerakan akan berganding dengan DAP untuk membentuk kerajaan.

Dalam mesyuarat Dato’ Harun itu, Dato’ Tahir Majid, Ketua Penerangan UMNO Selangor membawa masuk 2 orang utusan Dr. Tan Chee Koon, iaitu Presiden Gerakan, yang menyampaikan mesej bahawa Parti Perikatan bolehlah membentuk kerajaan kerana Gerakan tidak akan bersekutu dengan DAP. Hal ini tidak dijangka sama sekali oleh ahli-ahli mesyuarat itu. Kemudian, V. David, ketua Gerakan dan Buruh, menelefon untuk mengesahkan mesej daripada Dr. Tan Chee Koon itu. Dengan demikian, pada ketika itu, Dato’ Harun dan Parti Perikatan tidak menghadapi tekanan. Mereka boleh membentuk kerajaan.Tiada alasan untuk mengamuk. Ahmad Razali kemudian memberitahu bahawa perarakannya malam itu berjaya mendapat permit polis. Setelah mendengar berita ini, ketua-ketua perikatan dan calon-calon pilihan raya yang lain menyatakan bahawa mereka juga ingin menyertai perarakan tersebut. Apabila mengetahui hal ini, Dato’ Harun berkata bahawa oleh sebab perarakan itu dijangka besar, beliau ingin mengetuainya untuk memastikan semuanya berjalan dengan aman. Oleh itu, beliau mahukan semua peserta berkumpul di rumahnya lebih awal agar beliau boleh berucap dahulu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Lumpur mengadakan mesyuarat untuk merancang pengawalan keselamatan perarakan tersebut. Semasa mesyuarat itu, Ketua Cawangan Khas Selangor, Penolong Pesuruhjaya Polis Liew Wing Lin menerangkan melalui taklimatnya bahawa hasil risikan Cawangan Khas mendapati segerombolan samseng Cina sedang merancang serangan terhadap perarakan itu di tiga tempat, iaitu Chow Kit, jauh sedikit di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan di Chan Sow Lin. Bertindak berdasarkan maklumat ini, Komander Unit Rusuhan Persekutuan, Timbalan Penguasa Polis Nathan berkata bahawa beliau akan menurunkan tiga pasukan polis ke padang untuk mengawal tiga tempat tersebut. Pasukan Penolong Penguasa Polis Tam Kong Weng akan ditempatkan di Chow Kit, pasukan Penolong Penguasa Polis Shariman Manaf akan bertugas di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan beliau sendiri akan mengikuti Pasukan Penolong Penguasa Polis Low ke Chan Sow Lin.

Sebelum Penolong Penguasa Polis Low dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Nathan sempat sampai di Chan Sow Lin, mereka menerima mesej daripada pusat kawalan yang mengarahkan mereka pergi ke Setapak kerana dikatakan bahawa rusuhan kaum sedang berlaku di situ. Mereka berpatah balik untuk ke Setapak pula, lalu di hadapan rumah Dato’ Harun dan nampak bahawa keadaan di situ tenang semuanya. Di Setapak, kereta-kereta telah dibakar dan seorang tukang Selangor Pewter telah mati. Hal ini membuktikan bahawa kejadian 13 Mei 1969 bermula di Setapak apabila sekumpulan orang yang bukan Melayu di luar sebuah pawagam mengejek-ejek perarakan Melayu dari Gombak yang sedang cuba pergi ke rumah Dato’ Harun.

Kisah yang sama ini diceritakan oleh Encik Low, pemilik kedai gambar di Setapak, yang juga salah seorang adik-beradik Penolong Penguasa Polis Low, iaitu Komander pasukan tersebut, oleh para pekerja kedai gambar Great Wall di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan oleh pemilik kedai perabot Wetex di Chow Kit yang telah dibakar kedainya.


Tun Hanif Omar

14 April 2021.

Sent from my iPhone

535 views3 comments

Related Posts

See All

THE MALAY PROCLAMATION

Forget Mahathir, Anwar, Muhyiddin, Zahid or Ismail Sabri. Forget Umno, PAS or any other Malay political parties, institutions, NGOs or any Mat or Minah that proclaims itself or themselves to speak for

bottom of page